At Taujih

Mengawal Wacana Iqomatuddiin

PANDUAN I’TIKAF

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Pengertian I’tikaf .
الاعتكاف هو اللبث في المسجد من شخص مخصوص بنية.
Menetap dan berdiam diri diMasjid oleh seseorang tertentu , dengan berniat I’tikaf. (Al Majmuk Syarah Muhazzab- Imam Nawawi juz 6 Ms 474 , Cetakan Darul Fikar/ Al Fiqh ala Mazahibil Ar Ba’ah—Al Jazairi — Kitab al I’tikaf./ At Ta’rifat – Al Jarjani m.s. 31.)

Maksudnya: I’tikaf disini merupakan satu bentuk ibadat dengan cara menetap di sebuah Masjid dgn tujuan untuk beribadat yang dilakukan oleh seseorang pada saat berpuasa dengan cara yang telah ditentukan oleh Syara’.

2. Asas di Syariat kan I’tikaf .

Asas atau dalil diSyara’kan I’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan ialah
عن عائشة رضى الله عنها , أن النبي صلى الله عليه وسلم يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله ثم اعتكف أزواجه من بعده .

Dari Aisyah ra. , Bahawa Nabi saw selalu berI’tikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan hingga diwafatkan oleh Allah Ta’ala , kemudiannya diteruskan sunnah I’tikaf selepasnya oleh Para
Isteri Baginda saw. (Muttafaqun Alaih.– Sahih Bukhari -Bab Al I’tikaf fil asyri al awakhir / Sahih Muslim – Kitabul I’tikaf.)

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال : كان صلى الله عليه وسلم يعتكف في كل رمضان عشرة أيام . فلما كان العام الذى قبض فيه اعتكف عشرين يوما.
Dari Abi Hurairah ra. , Beliau berkata : Adalah Nabi saw selalu berI’tikaf pada tiap- tiap sepuluh Ramadhan yang terakhir. Ketika beliau diwafatkan , Beliau telah berI’tikaf selama dua puluh hari. (Sahih Bukhari—Bab Al I’tikaf fil asyril aakhir..)

karena itu jelaslah bahwa I’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah Sunnah yang diamalkan
secara berkekalan oleh Nabi saw dan Para Isteri Baginda saw dan juga Para Sahabat ra.

3. Hukum I’tikaf.

Telah sependapat seluruh Imam Mazhab yang empat dan seluruh Umat Islam, bahwa Hukum I’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah “Sunah Mu akkadah”. Bertujuan mengikuti Sunnah Nabi saw dan mencari fadhilah Lailatul Qadar. (Raudhah At Tholibin—Imam Nawawi, juz 2 hal 255, Cetakan Darul Al Kutub Al Alamiyah, Bairut tahun 2000. / Syarah Sahih Muslim — Imam Nawawi juz 8 hal. 67, Darul Tsaqofah )
Tiadk ada khilaf bahwa Tidak Wajib I’tikaf melainkan apabila bernazar dengannya(Fathul Baari- Ibni Hajar Al Asqolani juz 4 hal 319, Darul Rayyan.)

4. Fadhilah I’tikaf.
عن ابن عباس رضى الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: ومن اعتكف يوما ابتغا وجه الله جعل الله بينه وبين النار ثلاث خنادق . كل خندق أبعد مما بين الخافقين .

Dari Ibnu Abbas ra., dari Nabi saw , beliau bersabda: Dan barangsiapa ber I’tikaf satu hari kerana mengharap keredhoaan Allah , niscaya Allah jadikan diantaranya dan antara Api Neraka (berjauhan) tiga puluh parit, dimana jarak diantara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin. (At Thobarani dan Al Hakim.

Telah meriwayatkan oleh Athobarani dalam Al Awsath , “Isnadnya Jayyid”.—Majmak Zawaid- Bab Fadhli Qodho il Hawa ij. juz 8 hal 351 Cetakan Darul Fikar Bairut ,tahun 1994. Berkata Al Hakim “ Isnad yang Sahih”. – At Targhib wat Tarhib . Juz 2 hal. 149-150. )

5. Hikmah / Tujuan berI’tikaf.

Diantara Hikmah dan tujuan I’tikaf ialah:

a) Meluangkan diri dari kesibukkan duniawi ,demi mencari kejernihan jiwa dan membina kekuatan Rohani sebagai bekalan melancarkan kegiatan hidup dengan lebih baik. (Syarah Sahih Muslim –Imam Nawawi . juz 8 hal. 69, Darul Tsaqofah.)

b) Kalaulah Ramadhan merupakan bulan ujian yang akan memenuhkan rahmat untuk sepanjang tahun , maka I’tikaf pada 10 hari yang terakhir adalah merupakan satu keistimewaan yang lebih khusus dan lebih tinggi bagi mereka yang melakukannya.

c) Usaha-usaha mendapatkan lailatul Qadar adalah satu Sunnah Nabi saw.
I’tikaf diakhir Ramadhan , adalah merupakan salah satu dari usaha tersebut.

6. Rukun I’tikaf.

Rukun I’tikaf 4 perkara.

a) Tetap berada didalam Masjid, sekurang-kurang masanya sekadar Tama’ninah didalam ruku’ (sekadar beberapa saat). Tidak keluar dari Masjid melainkan atas sebab-sebab yang diharuskan Syara’. (Yaitu sebab-sebab yang tidak memutus dan membatalkan I’tikaf).

b) Niat pada permulaan I’tikaf atau pembaharuan niat semula (jika terbatal) ,

c) Orang yang berI’tikaf.

Seseorang yang berI’tikaf disyaratkan :
(1) Islam.
(2) Berakal.
(3) Bersih dari haidh dan nifas .
(4) Bersih dari hadas Junub. (Raudhah at Tholibin- juz 2 ,Ms 257, 262 / Fathul Wahhab – Syekhul Islam Zakaria Al Ansori, juz 1 Ms 126- 131 , Darul Fikar, Bairut)

c) Tempat I’tikaf , yaitu Masjid. (Al Majmuk. Juz 6 Ms 478 dan 483)

7. Cara berI’tikaf diakhir Ramadhan.

a) Mulai masuk keMasjid sebelum matahari terbenam (sebelum Maghrib) pada hari ke dua puluh Ramadhan , dengan berniat I’tikaf sepuluh hari terakhir dan keluar setelah selesai masa I’tikaf pada pagi A’idil Fithri atau setelah masuk waktu Maghrib pada malam Aidil Fithri. (Raudhah at Tholibin— juz 2 hal. 255.)

b) Diharuskan setiap orang yang berI’tikaf membawa hamparan khas miliknya kemasjid dan diharuskan juga mengambil mana-mana ruangan diMasjid sebagai tempat khas baginya, tetapi dengan syarat tidak menyempitkan (mengganggu) orang lain yang akan bersembahyang. (ويشق معه المقام لحاجته الى الفراش. (4) Mafhum daripada Ibarat Raudhah, Ms 273 )

c) Solat sunat Tahiyyatul Masjid dua rakaat, seterusnya tetap berada diMasjid melainkan jika berlaku perkara-perkara yang diharuskan keluar dari Masjid (yaitu tidak dianggap memutuskan I’tikaf ).

d) Harus menjalankan Ibadat I’tikaf yang sunat secara tidak penuh atau tidak berturut-turut . Misalnya :
BerI’tikaf hanya sehari atau dua hari sahaja nisbah kepada masa selama sepuluh hari diakhir Ramadhan, atau diselang-selikan harinya atau hanya berI’tikaf diwaktu malam sahaja atau sebagainya. (Mafhum daripada Ibarat Fuqaha , misalnya didalam Kitab Al Minhaj At Tholibin / Al Majmuk juzuk 6 m.s. 488. ثبت قدر يسمى عكوفا.)

8. Masjid-masjid untuk berI’tikaf.

a) Terafdhal adalah Masjid Haram di Mekah, diikuti Masjid Nabawi di Madinah , Masjid Aqsa di Baitul Maqdis , Masjid-masjid Jami’ (yang didirikan solat jumaat) umumnya menurut tertib , menurut besar dan ramainya ahli jemaah. (Al Umm—Imam Syafie. juzuk 2 m.s. 118. Darul Fikar, Bairut. / Al Majmuk juzuk 6 m.s. 482.)

b) Sah berI’tikaf didalam semua jenis Masjid. (Syarah Muslim juzuk 8 m.s. 68. / Al Majmuk juzuk 6 m.s. 283. )

c) Sah berI’tikaf didalam Masjid atau Suthuh nya ( atapnya yang lapang yang boleh diduduki ) , Menaranya yang berhubung dengan masjid. , Rohbahnya ( serambinya) atau diKawasan yang masih dinamakan Masjid. (Al Majmuk. Juzuk 6 m.s. 505-509 / Mughni Al Muhtaj juzuk 2 m.s. 202.)

9. Sebab-sebab yang mengharuskan keluar dari Masjid.

a) Qadha hajat.

Yaitu buang air besar dan buang air kecil.

b) Berwudhu.
Jika tiada kemudahan berwudhu didalam Masjid.

c) Menyuci najis.
Samada pada badan atau pakaian.

d) Sakit .
Sakit berat atau sakit yang boleh mencemarkan masjid.

e) Hadas Besar.
Semasa berI’tikaf, berhadas besar mewajibkan keluar dari Masjid, maka keluar tersebut tidak memutuskan I’tikaf. Keadaan ini berbeza jika berhadas besar sebelum berI’tikaf yang sememangnya tidak sah pada permulaannya lagi. (Fathul Wahhab juzuk 1 m.s. 129/130.)

f) Dipaksa keluar dari Masjid.

g) Makan.
Walaupun diharuskan makan didalam Masjid dengan syarat menjaga kebersihan, adalah dibolehkan keluar untuk makan diluar Masjid tanpa sebarang syarat.

h) Minum.
Jika ketiadaan air didalam Masjid.

i) Takut bahaya.
Kerana takut sebarang bahaya yang datang dari mana-mana pihak.

i) Kecemasan.

j) Keluar dengan terlupa. (Al Umm juzuk 2 m.s. 115./ Raudhah juzuk 2 m.s. 270–273. )

10. Huraian.

a) Keluar dari Masjid tanpa sebab yang dibolehkan , adalah membatalkan I’tikaf. Tidak dianggap keluar selagi tidak dengan seluruh tubuh . Termasuk dalam ertikata “Keluar” disisi Syara’ ,apabila seseorang itu berdiri dengan kakinya diluar Masjid sekalipun badannya , masih berada didalam Masjid. (Raudhah juz 2 hal. 270 / Al Majmuk juz 6 hal. 499)

b) Semua sebab-sebab yang dimaafkan /tidak membatalkan I’tikaf tersebut , setelah selesai , hendaklah segera kembali masuk kedalam Masjid dan tidak perlu mengulangi semula niat I’tikaf. Sebaliknya , jika setelah selesai atau hilang sebab-sebab tersebut , tidak pula segera masuk keMasjid, ianya akan membatalkan I’tikaf. Maka keadaan ini perlu diulangi semula niat I’tikaf .

c) Mimpi hingga keluar mani ,tidak membatalkan I’tikaf tetapi wajib segera keluar Masjid untuk mandi wajib. (Al Majmu’ juz 6 hal. 501 / Fathul Wahhab juz 1 hal. 130. )

d) Sembahyang Jumaat, bagi mereka yang berItikaf di Masjid yang tidak dibuat sembahyang Jumaat, hendaklah keluar dari tempat I’tikafnya untuk pergi ke masjid yang di buat Jumaat, dan I’tikafnya di anggap batal menurut Jumhur Ulamak. Maka diulangi semula niat I’tikaf bila mereka kembali semula. (Al Majmuk – juzuk 6 m.s. 513/.Raudhah juz 2 hal. 274.)
Maka difahamkan dari keadaan ini, bagi mereka yang sengaja pergi sembahyang jumaat di Masjid lain yang didirikan Jumaat padahal Masjid I’tikaf mengadakan Jumaat , akan membatalkan I’tikaf dan perlulah diulangi semula niatnya.
e) Mereka yang mempunyai sesuatu Kewajiban yang lebih utama dari I’tikaf Sunat , hendaklah keluar dari Masjid dan melaksanakannya, I’tikafnya adalah terbatal. Jika mereka kembali semula ke Masjid untuk berI’tikaf adalah disyaratkan mengulangi semula niat .

11. Perkara yang harus/boleh dilakukan ketika I’tikaf.

a) Berpakaian biasa.
b) Makan/minum didalam Masjid, tetapi disunahkan menggunakan alat-alat seperti hamparan supaya terpelihara kebersihan Masjid.
c) Memakai bau-bauan . ( Ketika berpuasa sebaik-baiknya ditinggalkan pada waktu siang).
d) Kerja-kerja yang ringan.
e) Menyambut tetamu, berbual dan menghantarnya pulang.
f) Sedikit jual-beli yang mustahak/ berhajat.
g) Berkahwin dan mengkahwinkan.
h) Bercukur, bersikat rambut dan mengerat kuku.
i) Belajar dan mengajar.
j) Tidur. (Al Umm juz 2 hal. 115 dan 118. / Raudhah juz 2 hal 259 / Al Mughni Al Muhtaj—Al Allamah Khatib Syarbini juz 2 hal. 192.. Darul Kutub, Tauzi’ , Bin Bazz Mekah. . )

11. Amalan-amalan semasa I’tikaf.

Pada dasarnya , tiada dalil yang khas untuk suatu bentuk amalan yang dibuat semasa I’tikaf selain dari anjuran agar bersungguh-sungguh beramal . Semua bentuk amalan taat boleh dilakukan semasa I’tikaf.

عن عائشة قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجتهد فى العشر الأواخر ما لا يجتهد فى غيرها. ( a)

Maksudnya: Daripada Siti Aisyah r.anha, “Adalah Rasulullah saw bersungguh-sungguh (beribadat) pada hari –hari yang sepuluh di akhir Ramadhan , lebih banyak daripada (ibadatnya) pada masa-masa lain.” (Sahih Muslim –Bab Al Ijtihad fil Asyril Awakhiri)

عن عائشة قالت : كان النبي صلى الله عليه وسلم اذا دخل العشر شد مئزره وأحيا ليله وأيقظ أهله . (b)

Maksudnya: Daripada Aisyah r.anha. ” Adalah Rasulullah saw apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , bersungguh-sungguh Baginda mengerjakan ibadat , menghidupkan malamnya dan menggerakkan Isterinya dari tidur”. (Sahih Bukhari — Bab Al Amal fil Asyril Awakhiri min Ramadhan. / Muslim– Bab Al Ijtihad fil Asyril Awakhiri.)

(c) Adalah sangat baik bagi orang yang berI’tikaf memenuhi masanya dengan amalan-amalan taat seperti : Sembahyang , Membaca tasbih , zikir, Membaca Quran (khususnya tadarus) , Belajar dan Mengajar , Mentelaah Kitab dan Mengarang. (Al Majmuk juz 6 hal. 528.)

(e) Sebahagian Ulamak berpendapat bahawa dikehendaki agar setiap yang berI’tikaf hanyalah menumpukan masanya dengan amalan asas I’tikaf sahaja, yaitu Zikir , Sembahyang , Membaca Quran (sendirian) dan Doa. (Al Majmuk juz 6 hal. 528 / Mawahib Al jalil)

12. Realiti I’tikaf dalam masyarakat Islam.

Terlalu sedikit jumlah Umat Islam yang berI’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan jika dibandingkan dengan jumlah Umat Islam se jagat semenjak dulu lagi. Lantaran itu Ibnu Syihab Az Zuhri yang hidup dikurun terawal pernah menyuarakan,

عجبا للمسلمين . تركوا الاعتكاف والنبي صلى الله عليه وسلم لم يتركه منذ دخل المدينة حتى قبضه الله.

Maksudnya: Heran sekali keadaan Umat Islam. Mereka meninggalkan I’tikaf (akhir Ramadhan) sedangkan Nabi saw tidak pernah meninggalkan I’tikaf sejak Baginda datang ke Madinah Al Munawwarah sehingga Allah wafatkan Baginda”. (Fathul Baari juz 4 hal. 334– Bab I’tikaf fil Asyril Awasith..)

13.Anjuran.

Oleh yang demikian, tidak sepatutnya ditinggalkan satu Warisan yang sangat bernilai yang diwarisi dari Rasulullah saw, terutamanya bagi Para Pendakwah, Pendidik , Mereka yang terlibat dengan pendidikan , Penguasa dan Setiap yang terlibat dengan Pentadbiran untuk mendapatkan limpahan kekuatan rohani dan kejernihan fikiran melalui Ibadat I’tikaf Sahih yang penuh dengan Hikmah yang besar .

Wallahu a’lam.

LAMPIRAN.

Mengapa semestinya I’tikaf di Masjid?.

Jawab: Dalam kitab Al Majmuk muka surat 483 juz 6, Imam Nawawi menjelaskan sebab kenapa I’tikaf hanya sah dilakukan di Masjid sahaja.

قد ذكرنا أن مذهبنا اشتراط المسجد لصحة الاعتكاف . وأنه يصح فى كل مسجد.
Sesungguhnya telah kami nyatakan bahawasa Mazhab Kami (Syafie) mensyaratkan masjid untuk sah beri`tikaf, dan bahawasanya sah beri`tikaf didalam semua jenis Masjid (tanpa pengecualian)

واحتج أصحابنا بقوله تعالى (ولاتباشرهن وأنتم عاكفون فى المساجد ) ووجه الدلالة من الآية لاشتراط المسجد أنه لو صح الاعتكاف فى غير المسجد لم يخص تحريم المباشرة بالاعتكاف فى المسجد لاأنها منافية لللاعتكاف فعلم أن المعنى بيان أن الاعتكاف انما يكون فى المسجد واذا ثبت جوازه فى المسجد صح في كل مسجد.

Telah berhujah Ashab Kami (I`tikaf hanya sah dimasjid sahaja) dengan firman Allah Taala, surah Al-Baqarah Ayat .. “Dan jangan Kamu menyetubuhi wanita itu (Istri2 Kamu) padahal Kamu sedang beri`tikaf dalam Masjid2”. Wajhu dilalah dari ayat tersebut adalah mensyaratkan masjid sebagai tempat I`tikaf. Bahawasanya jikalau sahlah beri`tikaf di tempat selain Masjid, nescaya Allah Ta’ala tidak mengkhaskan ketentuan pengharaman jimak semasa I`tikaf semasa di dalam masjid, kerana bahawasa berjimak itu sendiri adalah menafikan kesahihan I`tikaf. Maka difahamai daripada makna ini, Adalah suatu keterangan bahawa I`tikaf hanyalah berlaku di dalam segala Masjid sahaja. Dan apabila sabitlah keharusan beri`tikaf dalam semua Masjid, maka sah beri`tikaf di dalam tiap2 Masjid tanpa pengecualian jenis ( sekalipun Masjid yang tidak didirikan sembahyang Jumaat).
Tammat, Al Majmuk.

Maka adalah difahami bahawa, surau tidak dianggap masjid dan tiada jenis I’tikaf didalamnya. Sekalipun begitu, tidak pula bermakna tiada keharusan beribadat didalam surau . Harus beribadat dimana-mana jua , Cuma kalau atas nama I’tikaf, tidak diistilahkan ibadat I’tikaf di surau .
Wallahu a’lam.

Filed under: makalah

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: